Kronologi MH 370 :
* 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang
dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30
pagi hari yang sama.
* 8 Mac - Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan
Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur
perairan Kota Baharu, Kelantan.
* 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi
melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235,
empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM).
* 8 Mac - Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad
Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan
kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang
MH370 iaitu 38
rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7),
Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada
(2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).
* 9 Mac - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata
kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
* 9 Mac - Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan
hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria,
menaiki pesawat MH370.
* 10 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan
akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat
MH370.
* 10 Mac - APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang
ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan
sebagai minyak bagi kapal kargo.
* 11 Mac - Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga
Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan
Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.
Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.
* 12 Mac - Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit
kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar
penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan
MH370 menaiki pesawat.
Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan
penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki
pesawat.
Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.
Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.
* 13 Mac - Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin
terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.
* 13 Mac - China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang
dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait
dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata
berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.
* 14 Mac - Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh
Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk
membantu pencarian.
* 14 Mac - Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.
* 15 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.
Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di
satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari
sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau
koridor selatan yang merentangi
kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.
* 16 Mac - Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.
* 16 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden
kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi
kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.
* 16 Mac - Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
* 17 Mac - Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.
* 18 Mac - Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam
usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit
DigitalGlobe.
* 19 Mac - Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.
* 20 Mac - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana
Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk
memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada
kaitan dengan pesawat yang hilang
Sumber : Sinar Harian